Sunday, June 5, 2011

Sambutan Hari Guru 2011 peringkat Sekolah



Pada 26 Mei 2011 yang lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab 1 telah mengadakan sambutan Hari Guru peringkat Sekolah dengan jayanya. Persiapan untuk majlis sambutan Hari Guru ini telah menggabungkan tenaga daripada Pelajar Tingkatan 6 Atas dan juga Badan Pemimpin Pelajar sendiri. Pada awalnya, sambutan Hari Guru telah dijadualkan pada minggu pertama penggal kedua 2011 untuk memberi laluan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan. Namun, tarikh ini dipercepatkan sempena dengan Majlis Persaraan dan Perpisahan Encik Wan Azmanan, Puan Wan Rabiaah dan Encik Nik Mansor. Persiapan untuk sambutan ini telah dilakukan dalam tempoh 3 hari. Namun, dengan semangat kekitaan dan persepakatan dalam Badan Pemimpin Pelajar dan juga Pelajar Tingkatan 6, majlis ini dapat diadakan dalam tempoh yang ditetapkan.







Pelbagai aktiviti telah diadakan untuk acara guru seperti acara memotong bawang, tarik duit, kupas epal, sandwich berhias, teh tarik dan sebagainya. Acara ini bermula pada jam 7.40 pagi dan berakhir pada pukul 9 pagi. Pelajar-pelajar turut hadir untuk memberikan sokongan kepada guru-guru mereka. Upacara perasmian sambutan Hari Guru ini diadakan pada jam 10 pagi yang telah disempurnakan oleh Bonda Pengetua sendiri, iaitu Puan Hjh Wan Jah binti Wan Yaakob. Guru-guru turut bersama-sama menyanyikan lagu rasmi guru dan juga lagu tema Hari Guru 2011, Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara. Selepas itu, acara ikrar Hari Guru yang telah diketuai oleh Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Zamari Abdul Wahab. Acara seterusnya adalah upacara memotong kek yang ditaja oleh Bonda Pengetua sendiri dan juga sebiji kek lagi daripada guru-guru pelatih daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris. Upacara perasmian tidak tamat disitu sahaja apabila, Ketua Murid melakukan gimik sebelum memberikan kad hari guru 2011 kepada Bonda Pengetua.











Persembahan pentas dimulakan dengan persembahan nyanyian daripada Nazirah Zainudin, Zubatrisyia Zulkifli selaku pemain gitar, dan Nadiha Raub selaku pemain violin. Selepas itu, persembahan sajak yang menerapkan unsur 1 Malaysia dengan menampilkan tiga kaum terbesar di Malaysia iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Majlis dimeriahkan lagi dengan sketsa hari Guru daripada Ain Azali, Aliah Zulkifli dan Auni Azman yang telah menyentuh hati guru-guru sehingga ada yang menitiskan air mata. Ketua Murid, Siti Nursyadini telah membuat kejutan dengan menyanyikan lagu tanpa iringan musik sambil membawa sejambak bunga sebagai hadiah kepada Bonda Pengetua tercinta. Acara seterusnya adalah acara penyampaian hadiah kepada guru-guru yang telah memenangi acara pada sebelah pagi dan juga hadiah hari guru.





Majlis Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah berakhir pada jam 11.30 pagi.

Disini, Badan Pemimpin Pelajar Semenza ingin mengucapkan Selamat Hari Guru 2011 kepada semua guru di Malaysia. "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara"